Resipi berasaskan jagung bukanlah perkara asing bagi masyarakat Malaysia.
Jagung bukan sahaja enak dimakan begitu sahaja, malah ia juga sedap diolah menjadi lepat, dinikmati bersama kelapa parut,
Dimasak menjadi bubur bersama sagu, serta menambah rasa apabila dicampur dalam nasi goreng atau cucur.
Jagung merupakan tanaman yang boleh dituai dalam tempoh singkat, iaitu antara 68 hingga 72 hari sahaja.
Dengan setiap pokok yang mampu menghasilkan dua hingga tiga tongkol jagung, tanaman ini menjadi pilihan popular untuk ditanam secara komersil di ladang yang luas.
Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai tanah yang luas, jangan bimbang. Anda juga boleh menanam jagung di halaman rumah anda sendiri.
Inilah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Farah Aisyah Ahmad, yang memberikan panduan menanam jagung sendiri.
Cara Mudah Menanam Jagung Sendiri
Pertama sekali, bina batas yang sesuai di laman rumah anda. Tidak perlu berlebihan sehingga membuatkan halaman menjadi semak. Korek tanah sedalam dua sentimeter dengan jarak satu kaki antara satu sama lain.
Kemudian, letakkan dua biji benih jagung dalam setiap lubang dan kambus semula lubang tersebut dengan tanah hitam.
Menurut Farah, terdapat tiga perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika menanam jagung.
1. Penyiraman Air
Anda perlu menyiram pokok jagung setiap pagi dan petang. Untuk tanaman jagung, siraman biasa tidak mencukupi seperti tanaman lain. Anda memerlukan sebanyak 250 mililiter air setiap lubang.
2. Pembajaan
Pastikan anda memulakan pembajaan pada hari kesepuluh dan sentiasa membaja seminggu sekali secara tetap. Bagi anda yang tidak pasti jenis baja yang diperlukan, AgriMag menyarankan penggunaan baja yang tinggi nitrogen, fosforus (phosphorus), dan kalium atau singkatannya, baja NPK.
Kandungan nitrogen yang tinggi diperlukan oleh pokok jagung di peringkat awal bagi pertumbuhan dan penghasilan biji. Nitrogen berperanan dalam pembentukan protein, asid amino, dan molekul biologi lain seperti asid nukleik.
Fosforus pula penting untuk pertumbuhan dan pembentukan sistem akar, bunga, dan buah jagung. Kalium diperlukan bagi pertumbuhan dan tumbesaran jagung, serta meningkatkan ketahanan terhadap penyakit dan keadaan persekitaran.
Apabila jagung mengeluarkan bunga jantan, tukarlah baja NPK kepada baja buah.
3. Proses Pendebungaan
Menurut Farah, dengan pendebungaan manual, isi jagung anda akan lebih penuh. Beliau turut berkongsi cara melakukan pendebungaan secara manual.
“Ketika bunga jantan mengeluarkan debu, petik setangkai bunga jantan dan golekkan pada bunga betina,” katanya. Waktu paling sesuai untuk melakukan pendebungaan ini adalah ketika cuaca panas, antara jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang.
Dengan petua ini, anda boleh mencuba menanam jagung sendiri di rumah. Tanam sendiri, lebih puas hati!
Baca Juga: Nampak sama tapi tak serupa, ini 5 tanda pastikan Restoran mamak original muslim atau tidak