Pernahkah anda menghadapi situasi di mana seseorang yang sakit tenat tiba-tiba sembuh seketika sebelum meninggal dunia tidak lama kemudian?
Fenomena ini dikenali sebagai “kejernihan terminal” atau terminal lucidity,
sering dialami oleh pesakit yang mengalami gangguan otak, sistem saraf, atau masalah psikiatri dalam jangka waktu yang lama.
Biasanya, pesakit ini tidak dapat mengenali orang lain, bercakap dengan jelas, atau menjalankan aktiviti harian mereka.
Namun, dalam tempoh kejernihan terminal, mereka tiba-tiba kembali sihat, mengingati orang sekeliling, berselera makan, dan bercakap seperti biasa.
Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak bertahan lama dan pesakit seringkali akan kembali tenat sebelum akhirnya meninggal dunia.
Fenomena kejernihan terminal ini juga sering berlaku kepada pesakit dengan gangguan otak serius seperti strok atau tumor otak. Istilah ini diperkenalkan oleh penyelidik dan ahli biologi Jerman, Michael Nahm, yang menggambarkannya sebagai kembalinya ‘kejelasan’ fikiran seseorang secara tiba-tiba sebelum kematian.
Warga maya turut berkongsi pengalaman mereka mengenai fenomena ini. Walaupun tiada penjelasan logik yang kukuh mengenai kejernihan terminal, fenomena ini sedang dikaji dan terus menjadi perdebatan dalam kalangan pakar.
Kajian menunjukkan bahawa kejernihan terminal boleh bertahan dari beberapa minit hingga beberapa hari. Banyak yang menganggap fenomena ini sebagai anugerah dari Tuhan, memberikan peluang kepada orang terdekat untuk meluangkan masa bersama pesakit buat kali terakhir.