Seorang ejen ‘rumah busuk’ iaitu kediaman yang lama terbiar tidak diduduki berkongsikan video kewujudan lubang besar (sinkhole) di perkarangan sebuah rumah.
Mohd Safuan secara bergurau berkata jarang beli rumah dapat percuma gua merujuk kepada ‘rumah busuk’ yang sedang dibaik pulih di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan.
“Ada gua depan rumah ini. Tukang jumpa lubang ini lepas korek ‘footing’ untuk buat tiang depan rumah,” katanya.
Dia kemudiannya masuk ke ‘sinkhole’ itu yang rupanya boleh memuatkan dirinya sendiri menggambarkan besar saiz lubang itu.
Rata-rata warganet terkejut dengan keadaan menakutkan itu kerana dibimbangi amat berisiko kepada pemilik rumah itu jika berlakunya kejadian tanah runtuh.
Bagaimanapun, Safuan dalam reaksi balasnya memberitahu, mereka telah mengkambus lubang itu yang dilihat pada tekstur tanahnya terdiri daripada jenis tanah liat (clay) dan lumpur (silt).
Sementara itu, seorang pengguna Facebook Khairul Adhwa menasihatkan pasukan kerja Safuan mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya bagi mengelak risiko tanah mendap.
“Check tengok air, lubang air yang masuk ke situ… nanti jika bina lain lagi tapi air tu tak ‘settle’ tak ke mana.
“Lepas ni akan jadi lagi nanti (lubang besar),” kata Khairul.
Untuk rekod, ‘sinkhole’ terjadi akibat pergerakan tanah.
Mengikut aspek teknikal dan kejuruteraan, mendapan tanah dipercayai antara lain akibat perubahan kandungan air dalam tanah di bawah permukaan muka bumi.
Jika kandungan air atau kelembapan tanah berkurangan, keupayaan struktur tanah untuk menanggung beban daripada atas akan berkurangan.
Tanah yang lembap bersifat lempung seperti ‘clay’.
Jika berlaku pengeringan, lempung dan lodak tersebut akan mengecut mengakibatkan struktur tanah berubah.
Keadaan tanah akan bertambah buruk sekiranya muka air bawah tanah atau ‘water table’ menurun secara mendadak.
Akibatnya, berlakulah kekurangan tekanan hidrostatik untuk menyokong beban yang sedia ada.
Selain itu, ‘sinkhole’ juga berlaku akibat pemampatan tanah yang tidak seimbang.
Hal tersebut terjadi jika tanah ditambak menggunakan bahan buangan pembinaan bercampur dengan bahan bukan batuan sekali gus menyebabkan mendapan di luar jangka.
Baca:
SST naik bukan alasan, peniaga bazar usah ‘cekik darah’ sebab penguat kuasa KPDN akan berkeliaran!
Rangup & cair di mulut, resipi biskut bangkit jadi pilihan ramai di pagi raya
Pemaju hartanah swasta terbesar China bergelut masalah kewangan, ini nasib menimpa Forest City