Mengenai perkara penggunaan ubat stapler untuk membungkus makanan yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini, telah menarik perhatian Kementerian Kesihatan (KKM).
Oleh itu, peniaga atau mereka yang mengendalikan makanan diminta untuk tidak menggunakan paku, dawai kokot (ubat stapler) atau bahan seumpamanya untuk membungkus makanan kerana boleh menyebabkan kecederaan jika tertelan.
Berdasarkan maklumat grafik yang dikeluarkan oleh Bernama semalam, ia menunjukkan bahawa penggunaan dawai kokot atau juga dikenali sebagai ubat stapler pada pembungkus makanan perlu dihentikan.
Penggunaan ubat stapler, paku, atau bahan berbahaya lain untuk membungkus makanan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Hukuman yang akan dikenakan
1. Orang yang mengendalikan makanan dan melanggar peraturan ini akan dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara selama 2 tahun, atau kedua-duanya.
2. Tambahan pula, hukuman yang lebih berat menanti jika bahan itu ditemui dalam makanan, iaitu denda maksimum RM100,000 atau penjara selama 10 tahun, atau kedua-duanya.
Bahan bungkusan makanan yang selamat digunakan:
Sebagai orang yang mengurus makanan, anda perlu memilih bahan pembungkus makanan yang:
– Tidak beracun dan cukup kuat untuk tidak koyak atau bocor
– Tidak membahayakan keselamatan dan kelayakan makanan
– Boleh mengelakkan kerosakan pada makanan
Kesan tertelan dawai kokot
Kesannya jika tertelan dawai kokot tidak boleh dianggap remeh.
Ini kerana, ia boleh menyebabkan kecederaan kepada bahagian-bahagian dalam badan seperti:
1. Gusi mungkin berdarah dan boleh melukakan saluran makanan.
2. Dawai gigi yang terbuka boleh menggores atau menyakitkan bahagian tekak meskipun tidak terperangkap di situ.
3. Ia mungkin terperangkap dan menyebabkan masalah kepada tisu badan disebabkan oleh jangkitan atau nanah yang terkumpul.
4. Menyebabkan rasa sakit di bahagian tekak semasa menelan.
5. Mengakibatkan batuk yang berterusan dan ada masa-masa di mana ia boleh menyebabkan pendarahan.
Jika anda mendapati makanan yang dijual menggunakan bahan seperti ubat stapler atau apa-apa yang mencurigakan, sila laporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Anda juga boleh membuat laporan melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini telah mengingatkan peniaga makanan bahawa terdapat kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan.
Oleh itu, penggunaan bahan seperti paku, ubat stapler atau bahan berbahaya lain dalam pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku.
Baca:
Ramai rupanya taasub dengan ‘Mawla Amin’ tunggang nasab suci Nabi, ini nasihat Menteri Agama
Elakkan ‘fancy’ dan guna nombor plat jenis ini jika tidak mahu ‘didekati’ abang JPJ
Cara mudah buat jeli kelapa muda, sesuai basahkan tekak musim panas ini