Realtime website trackingweb stats

Hidup tak berhutang, duit pun banyak jimat, ramai rupanya mahu amal gaya hidup ‘homesteader’

Oleh FATIN AQILAH

Hidup tidak kaya tetapi paling penting tak dibebani hutang. Duit pula banyak yang jimat tidaklah licin hanya untuk petrol dan bayaran tol.

Rupanya,ramai mahu mengamalkan gaya hidup sara diri atau ‘homesteader’ dengan meninggalkan ibu kota.

Mereka berhijrah ke kampung dan bercucuk tanam serta menternak bermacam jenis haiwan.

Antaranya, Zarah Ariffin Alkhadri, 40, yang pernah bekerja sebagai jurulatih peribadi di pusat rawatan sukan dan pusat gimnasium.

Suaminya, Noah Ibrahim, 39, dulu menceburi bidang teknologi maklumat (IT) serta pembuat kuih di rumah.

“Kami tak kaya, tapi tak berhutang. Alhamdulillah, setakat ini cukup rezeki yang ada buat kami sekeluarga,” kata Zarah.

Namun, katanya, keinginan ‘menukar angin’ mendorong mereka berdua berhijrah dari ibu kota ke sini bagi menjalani gaya hidup sara diri atau ‘homesteader’.

Menerusi gaya hidup itu, Zarah bersama suaminya menjana pendapatan hasil pembuatan sabun pinggan dan sabun baju mesra ekzema serta alam daripada minyak masak terpakai, sabun herba gelenggang dan pelbagai produk gelenggang yang dijual secara dalam talian.

Demi kelangsungan hidup, suami isteri itu juga ada menjual benih dan anak pokok ditanam selain menternak ayam, itik juga arnab yang masih dalam peringkat eksperimen.

“Kami menjalani gaya hidup ini (homesteader) sejak 2013 iaitu ketika anak pertama berusia sembilan bulan bermula di sebuah kawasan dekat Sungai Gabai, Hulu Langat.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama iaitu pada 2020, saya ajak suami bersama empat anak berpindah ke Kuala Terengganu sebelum menyewa di sini.

“Memandangkan tidak bekerja tetap, kami pilih jual sabun dan produk berasaskan gelenggang selepas anak ketiga, Hanaan Elena (lima tahun) mengalami masalah ekzema pada bahagian wajah ketika masih bayi.

“Kebetulan ketika itu di tempat tinggal kami ada pokok gelenggang yang tumbuh dekat kebun tepi sungai.

“Jadi, kami cuba bereksperimen membuat produk menggunakan daun pokok berkenaan kemudian hasilkan lebih untuk dijual dan teruskan kerana dapat maklum balas positif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Zarah mengakui ada menonton Youtube untuk mempelajari cara menghasilkan produk keluarannya.

Bagaimanapun, dia dan suami turut mengikuti kursus untuk menambah ilmu serta meningkatkan kemahiran mereka, salah satunya di bawah kendalian Institut Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia (Mardi).

“Berbekalkan ilmu dan pengalaman, kami anjurkan pula kelas pembuatan sabun untuk membantu orang lain mengurangkan kos sara hidup serta mereka yang ada masalah kulit.

“Inisiatif lain kami adalah menganjurkan program ikhtiar hidup untuk golongan yang sudah berkeluarga.

“Alhamdulillah dapat sokongan cuma cabaran kami adalah untuk uruskan tanaman kerana ada gangguan monyet, biawak dan ular malah ada haiwan peliharaan banyak yang mati juga hilang waktu ketiadaan kami,” katanya.

Beliau dan suaminya menanam bunga tahi ayam, turnera atau lebih dikenali dengan nama bunga lidah kucing, zinnia, pucuk ubi, roselle, jagung, labu dan markisa.

Menurut Zarah, anaknya memahami gaya kehidupan mereka yang serba sederhana malah ada ketikanya suka membantu dan menyertai aktiviti yang dilakukan.

“Bagi saya, aktiviti dilakukan itu satu terapi dan hiburan untuk anak-anak cuma ada juga kecam cara hidup kami yang berbeza ini.

“Tapi saya dan suami tak pernah menyesal kerana dapat meluang masa dengan anak malah lebih jimat kerana di hidup di Kuala Lumpur dulu banyak habis duit dengan minyak serta tol berbanding di sini.

“Mereka di luar sana yang nak hidup macam kami juga boleh cuma kena selesaikan hutang dulu kerana pendapatan sebagai ‘homesteader’ tidak menentu walaupun masih boleh makan dengan hasil ternakan dan tanaman,” katanya yang berkongsi video di TikTok bagi meyakinkan pengguna untuk membeli produk dihasilkannya.

Baca:

‘Man of the Year’ diminta buat propaganda menentang Hamas, netizen bimbang keselamatan Motaz

Nak jumpa gajah di Malaysia punya la susah, kat Thailand boleh pula diorang buat gathering ramai-ramai

Anak-anak memang suka, ini resepi lempeng lembut dan gebu