Realtime website trackingweb stats

Berbuah lebat di pangkal pokok, ‘durian comel’ ini hanya ada di Borneo

Oleh SHAZLIN AZIZ

Buah ‘durian comel’ ini berbuah di batang dan pangkal pokok. Besarnya pun hanya sebesar tapak tangan dengan elok saja ulasnya bersusun.

Mungkin ramai orang di Semenanjung tidak pernah melihat dan baru tahu kewujudan spesies durian unik ini.

Mana tidaknya, jenis Raja Buah ini hanya ada di Borneo terutamanya di utara Sarawak, khususnya Limbang dan Miri.

Buah berduri disukai ramai ini dikenali sebagai ‘durian kura-kura’ yang lain daripada yang lain.

Berbuah lebat di pangkal pokok, 'durian comel' ini hanya ada di Borneo

Tidak seperti ‘rakannya’ yang berbuah di dahan, durian kura-kura buahnya di pangkal sehingga mencecah tanah.

Lantaran buahnya berada di kedudukan rendah, diibaratkan kura-kura pun boleh mencapainya.

Rasa dan teksturnya pun tidak sama dengan durian biasa. Apabila matang tekstur durian itu seperti buah nangka, sedikit berair dan manis seperti cempedak atau nangka.

Walau bagaimanapun, jika dipetik ketika belum cukup matang rasanya seperti kubis manis.

Menurut penduduk Kampung Tanah Paya Langkap, Limbang, Sukirny Mokti, saiz ulas durian kura-kura dan susun atur ulasnya hampir dengan buah pakan iaitu sejenis durian di Sarawak yang isinya berwarna jingga cuma isinya berwarna putih.

“Saiz buah serta biji durian kura-kura berwarna hampir sama seperti biji buah pakan (biji berwarna coklat),” katanya, lapor BH.

Berbuah lebat di pangkal pokok, 'durian comel' ini hanya ada di Borneo

Jelasnya, durian kura-kura perlu dipetik kerana buahnya tidak luruh seperti durian biasa dan cara mengetahui buah cukup matang ialah dengan mengetuk kulitnya.

“Ia sama dengan cara mengetahui buah nangka atau cempedak yang sudah matang usianya sebelum dipetik,” katanya.

Lantaran kedudukan buahnya yang di atas tanah itu, durian kura-kura terdedah pada gangguan pelbagai haiwan liar selain tupai atau kera.

Ujarnya, dalam masyarakat Bisaya di Limbang, durian terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu ‘Lampun’ iaitu durian biasa, ‘Lalit’ iaitu sejenis durian kuning dan yang ketiga ‘Dedaan’.

“Dedaan itu pula ada dua jenis iaitu durian Pakan dalam kategori “Deda’an Sawat” kerana ia berbuah di dahan, manakala durian kura-kura pula adalah “Deda’an Ser’iba” kerana buahnya di pangkal pokok,” katanya.

Namun, katanya, tidak dapat dipastikan dari mana asal usul durian kura-kura dan mengapa ia hanya ditemui di utara Sarawak khususnya di Limbang dan Miri.

“Pokok yang ada sekarang kebanyakannya diwarisi daripada generasi terdahulu dan kemungkinan spesies durian kura-kura adalah spesies durian liar.

“Adalah dipercayai durian itu ditemui oleh nenek moyang kami masyarakat Bisaya ketika mereka membuka hutan untuk tanaman padi huma pada zaman dahulu dan kemudiannya mengambil biji durian itu untuk ditanam,” katanya.

Katanya, berikutan keunikan durian itu ramai yang cuba menanamnya, namun boleh dikatakan 90 peratus tidak menjadi.

“Ia mungkin disebabkan faktor cuaca mahupun pengaruh tanah dan alam sekitar yang membuatkan durian sukar untuk hidup.

“Faktor itu mungkin yang menyebabkan durian kura-kura hanya ditemui utara Sarawak khususnya di bahagian Limbang,” kata Sukirny lagi.

Baca:

Muka macam Sudirman, ramai kagum, penampilan penyanyi ini mengubat rindu rakyat Malaysia

Anak baru keluar 3 bulan, isteri bagitahu mengandung lagi, reaksi suami buat netizen terhibur

Ibu berang perangai anaknya, rupanya ini punca ramai murid mabuk hingga tertidur di kelas