Nyawa di hujung pedang, profesor ini cerita detik ngeri lelaki nyaris dipancung di tepi kubur rupanya pernah berlaku.
Selepas menamatkan pengajian Ph.D. di University of Edinburgh pada tahun 1972, hamba ditawarkan jawatan sebagai pensyarah di Universiti Pulau Pinang.
Nama universiti ini kemudian berubah menjadi Universiti Sains Malaysia. Dunia baru hamba bermula di Pulau Pinang. Dan hamba meninjau dan mencari sahabat baru di “Tanjung” yang akan menjadi kediaman hamba untuk 25 tahun mendatang.
Antara kenalan baru hamba adalah pengarang “Nyawa di Hujung Pedang” iaitu Tuan Haji Ahmad Murad Nasaruddin. Beliau sering hamba temui di Padang Kota Baru (Gurney Road) makan angin bersama isteri dan anaknya hampir setiap petang.
Malangnya tidak ada foto, belum ada kamera dan telefon bimbit
“Nyawa di Hujung Pedang” ini adalah antara cerita yang dipentaskan di STAR di bawah arahan almarhum Cikgu Datuk Aziz Wok. Hamba sering memikirkan sama ada cerita in betul-betul berlaku atau tidak.
Pada suatu pagi di Janda Baik, hamba mendapat jawapannya. Tidak sama, tetapi kisah orang hampir dipancung itu ada berlaku. Tuan Imam kami bercerita, memang ada berlaku sebuah kisah di Janda Baik ini, iaitu arwah Tuk Aki Mahat sudah hampir dipancung di tepi liang kubur oleh tentera Jepun tetapi terselamat kerana ada seorang Cina melaungkan, “Itu orang baik, jangan bunuh!”