Realtime website trackingweb stats

8 petua tangani komen provokasi di media sosial, nombor 5 tu ramai abai memang mengundang salah faham

Oleh FATIN AQILAH

Lumrah di media sosial apa lagi di Facebook, komen berbaur provokasi mudah saja muncul apa lagi jika kandungan yang dimuat naik memang jenis sengaja mengundang kecaman.

Pentingnya menjaga kesihatan emosi sepanjang menggunakan media sosial penting dikuasai memandangkan Malaysia adalah negara yang kedua di dunia paling banyak menggunakan platform media sosial.

Menurut kajian dilakukan syarikat pembekal proksi, Proxyrack yang diterbitkan tahun lalu, rakyat Malaysia memperuntukkan kira-kira 8 jam dan 6 minit sehari untuk menggunakan internet.

Justeru, pengguna media sosial di negara ini terdedah kepada kemurungan sekiranya gagal mengawal lambakan komen provokasi.

Ikuti 8 petua menangani komen provokasi di media sosial seperti dikongsi pengajar penulisan tular, Muhamad Harris Nasril ini:

8 petua tangani komen provokasi di media sosial nombor 5 tu ramai abai memang mengundang salah faham

“Kadang-kadang sakit jiwa juga baca komen provokasi di Facebook saya. Ada petua tak cara nak menjawab komen tersebut?”

Menjawab komen provok4tif di Facebook perlulah matang dan bertamadun, ambil pendekatan yang tenang.

Terlebih dahulu anda perlu meletakkan premis bahawa semua orang mempunyai pendapat masing-masing dan ia mungkin berbeza dengan pendapat anda.

Perlu diingat juga pendapat anda bukanlah juga mesti dipersetujui 100℅ oleh orang lain.

Sebab itulah ada fungsi komen di Facebook. Kalau anda tidak mahu orang memberi komen, boleh sahaja tutup ruangan komen.

Jika anda sudah membuka ruang komen, maka beberapa langkah berikut boleh ambil:

1. Bertenang

Sebelum menjawab, ambil masa untuk tenangkan diri. Ini membantu anda memikirkan jawapan yang rasional dan tidak emosional.

Jika anda terlalu marah, bolehlah terlebih dahulu mengambil wuduk. Jangan sesekali jawab dalam keadaan marah kerana anda akan didorongi menjawab dalam intonasi ‘koyak’.

2. Cari niat

Cubalah memahami kenapa seseorang itu membuat komen provokatif. Adakah mereka mencari perhatian, cuba menyatakan pendapat yang berbeza, menyakat (troll) atau hanya tidak memahami situasi dengan jelas?

3. Jawab dengan fakta

Jika perlu menjawab, gunakan fakta dan logik daripada menggunakan emosi.

Jawapan yang berdasarkan fakta dan bukti lebih sukar untuk disangkal dan menunjukkan keprofesionalan anda, selain ia lebih dihormati.

Sertakan rujukan sekiranya ada.

4. Elak berbalah

Hindari terlibat dalam perbalahan yang tidak produktif.

Jika perbincangan tidak membawa kepada pemahaman atau penyelesaian, lebih baik untuk berhenti daripada membiarkannya berlanjutan.

5. Gunakan bahasa Melayu yang sopan

Pastikan bahasa yang digunakan sopan dan menghormati tukang komen. Ini menunjukkan bahawa anda bertindak matang dan menghargai perbincangan yang bermakna.

Tulis dengan menggunakan bahasa Melayu penuh, tidak dicampur aduk dengan bahasa lain, tiada singkatan, dan ada perenggan.

6. Tawarkan untuk berbincang secara peribadi

Jika perbincangan menjadi terlalu sengit atau peribadi, tawarkan untuk meneruskan melalui mesej peribadi.

Ini menunjukkan kesediaan anda untuk menyelesaikan masalah tanpa memalukan pihak lain di khalayak umum.

7. Tetapkan had dan moderat

Ini ada pada mod profesional. Jangan takut untuk menggunakan fungsi moderat seperti menapis perkataan yang lucah, kurang sopan, atau mengancam.

Dalam mod profesional, ada pelbagai pilihan untuk anda menapis komen terutama dari akaun palsu yang baru dibuat.

Anda juga boleh memadam komen atau menyekat pengguna jika mereka benar-benar keterlaluan.

Beri peringatan terlebih dahulu supaya mereka menjaga tatatusila sebelum anda mengambil tindakan terakhir itu.

8. Pilih untuk tidak menjawab

Ingat bahawa tidak semua komen perlu dijawab.

Matikan notifikasi pada pengkomen tersebut.

Kadang-kadang, mengabaikan provokasi adalah tindakan yang paling bijak.

Ketik sahaja tanda suka pada komen provokasi tersebut.

Menggunakan pendekatan ini bukan hanya menunjukkan kematangan anda, tetapi juga membantu menjaga suasana Facebook yang lebih positif dan produktif.

Selain itu, anda juga akan lebih dihormati kawan dan juga lawan.

Baca:

‘Free dance show’ kedai ini jadi bualan, ‘kalau amoi yang menari ramai sanggup setiap hari beli atas RM500’

KJ buat lagi, DJ dah, model baju raya pun dah, sekarang nak tapau jawatan tertinggi bola sepak?

Baru tahu ada 3 resepi agar-agar yang mudah tapi sedap, gerenti dipuji Hari Raya ni nanti