Realtime website trackingweb stats

72 manuskrip Melayu purba ada di Belanda, rupanya ini sebab ada VIP Selangor sanggup bakar ‘library’ miliknya

Oleh ADINDA

Sejumlah 72 manuskrip Melayu yang ratusan tahun ada di Belanda, rupanya ada kaitan dengan seorang kenamaan (VIP) zaman dulu di Selangor yang sanggup membakar perpustakaan miliknya daripada jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784.

Itu pendedahan Ketua Bahagian Asia Tenggara, British Library, London, Datuk Dr Annabel Teh Gallop ketika memberi syarahan ‘Perpustakaan di Negeri Selangor Kurun Ke-18: Koleksi Buku Panglima Besar Tengku Sayid Jafar’ anjuran Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), baru-baru ini.

Ikuti 11 fakta dikongsikan Dr Annabel Teh Gallop yang menunjukkan bahawa khazanah intelektual datuk moyang bangsa Melayu bukan calang-calang hebatnya sehingga “dirompak” orang asing lalu dibawa balik ke negara mereka:

1. 72 manuskrip Melayu itu merupakan satu koleksi yang asalnya dari sebuah perpustakaan lama di Selangor yang tersimpan jauh di sebuah perpustakaan, Athenaeumbibliotheek di bandar tua Deventer, utara Belanda.

2. Koleksi ini terdiri daripada 45 kitab berbentuk naskhah berjilid dan 27 pucuk surat adalah milik Tengku Panglima Besar Tun Sayid Jafar Ba’ Alawi atau lebih dikenali sebagai Sayid Jafar.

3. Dianggap sangat penting untuk Sayid Jafar kerana beliau sanggup membakar perpustakaan miliknya daripada jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784.

72 manuskrip Melayu purba ada di Belanda, rupanya ini sebab ada VIP Selangor sanggup bakar 'library' miliknya

4. Koleksi perpustakaan Sayid Jafar ini menumpukan ilmu Islam, jadi walaupun ada dalam bahasa Melayu namun majoritinya dalam bahasa Arab.

5. Koleksi ini sudah pun dikatalogkan di Belanda sejak 1792 walaupun ditulis dengan tangan. Dalam katalog lama susunan koleksi dibuat mengikut bahasa, iaitu semua koleksi berbahasa Melayu akan dihimpunkan bersama.

6. Koleksi di Deventer ini turut menyimpan dua mushaf al-Quran. Salah satu ciri yang jelas mushaf ini dihasilkan di Aceh berdasarkan tata letak teks dan tulisan tangan.

7. Manuskrip yang tertua dalam koleksi ini dipercayai dihasilkan pada 1603.

8. Daripada keseluruhan 72 manuskrip, berkemungkinan hanya 28 jilid besar buku berasal daripada koleksi Sayid Jafar sementara naskhah lain termasuk surat dan kertas mungkin diperoleh ketika berlakunya Perang Selangor-Belanda.

9. Keseluruhan koleksi berbentuk buku ditulis dalam bahasa Arab sementara himpunan surat dan kitab kecil dikarang menggunakan bahasa Melayu. Ada beberapa manuskrip buku kecil dan catatan yang ditulis dengan bahasa dan aksara Bugis.

10. Bagaimana kesemua manuskrip itu boleh ada di Belanda?

Perang Selangor-Belanda berlaku ketika Selangor menawan kembali Melaka yang ketika itu dikuasai Belanda.

Sultan Kedua Selangor, Sultan Ibrahim menyerang Melaka dengan bantuan bapa saudaranya, Raja Haji yang membawa angkatan perang dari Riau.

Dalam peperangan itu, Raja Haji terbunuh di Teluk Ketapang sementara Sultan Ibrahim berundur kembali ke Kuala Selangor.

Armada Belanda kemudiannya mengejar ke Kuala Selangor. Namun disebabkan pantai Selangor berlumpur, usaha untuk mendarat agak sukar.

Selepas dua minggu barulah dapat naik ke darat dan mengukuhkan kedudukan mereka sebelum dapat menakluk Kota Kuala Selangor.

Sultan Ibrahim dan orang-orangnya pun berundur ke Hulu Selangor lalu masuk ke Pahang untuk mendapatkan bantuan.

Disebabkan penaklukan itulah Belanda dapat merampas sejumlah manuskrip Melayu lama lalu dibawa ke Belanda.

11. Terdapat juga manuskrip berasal daripada Aceh, Indonesia kerana ia disertakan maklumat lengkap misalnya di mana ia disalin selain turut dicatatkan nama penyalin dan nama pemiliknya.

Baca:

“Nanti cakap lebih-lebih cakap saya nak cetuskan isu pulak” – Shakilla persoal Fizi tekap mulut anak

Razan Al-Najar gadis Palestin jadi ketakutan Zionis Israel

Tak pernah berlaku kelab bola sepak dihalang ke padang latihan, Kelantan FC kena ‘buli’ dengan Jabatan Pertanian