Jepun adalah destinasi percutian terkenal di dunia, menawarkan keunikan iklim, topografi, dan pemandangan yang memukau.
Selain itu, masyarakatnya kaya dengan budaya dan tradisi, disertai dengan hidangan makanan yang istimewa.
Meskipun terdapat persamaan dalam adab dan nilai antara masyarakat Jepun dan Melayu,
Terdapat beberapa larangan yang dianggap biadab jika dilakukan di negara matahari terbit ini.
Bagi anda yang pertama kali ke Jepun, berikut adalah lima panduan penting berdasarkan pengalaman Kamal Zharif, seorang yang telah menetap di negara Sakura ini selama 10 tahun.
1. Elakkan Memberi Tip
Di Jepun, pemberian tip bukanlah satu kebiasaan, malah dianggap menghina. Masyarakat Jepun percaya bahawa integriti adalah asas utama, dan bayaran untuk perkhidmatan telah termasuk dalam jumlah bil.
Oleh itu, tidak perlu memberikan tip atau menyebut “keep the change”, kerana mereka akan memulangkan baki walaupun sekecil lima sen.
2. Kasut Tidak Boleh Dipakai di Dalam Bangunan
Sama ada di rumah, sekolah, atau tempat ibadah, kasut mesti ditanggalkan sebelum masuk ke bangunan.
Selipar khas biasanya disediakan untuk kegunaan di dalam ruang tersebut. Namun, jika bilik tersebut menggunakan tikar tatami, anda perlu membuka selipar sebelum masuk.
3. Jangan Bermain Dengan Chopstick
Masyarakat Jepun memiliki banyak pantang larang mengenai penggunaan chopstick.
Sebagai contoh, menusukkan chopstick secara menegak ke dalam nasi menyerupai ritual kematian.
Selain itu, jangan gunakan chopstick sendiri untuk mengambil makanan orang lain atau melambai dengan chopstick, kerana perbuatan ini dianggap tidak sopan.
4. Elakkan Makan di Tempat Awam atau Dalam Pengangkutan Awam
Sama seperti di Malaysia, makan dalam pengangkutan awam adalah tidak dibenarkan. I
a bukan sahaja mengganggu penumpang lain tetapi juga boleh menyebabkan kekotoran jika makanan atau minuman tertumpah. Islam juga menekankan pentingnya makan dengan tertib dan duduk dengan sopan.
5. Sentiasa Beratur
Budaya beratur adalah perkara yang sangat penting di Jepun, walau dalam situasi kecemasan sekalipun.
Contohnya, ketika tsunami melanda, masyarakat Jepun tetap beratur untuk mendapatkan bantuan.
Oleh itu, memotong barisan adalah sesuatu yang sangat tidak diterima dalam budaya mereka.
Dengan memahami dan menghormati budaya ini, perjalanan anda ke Jepun bukan sahaja akan menjadi lebih menyenangkan tetapi juga dihargai oleh penduduk tempatan.
BACA: Kalau berlaku tumpahan kuah di lantai, cuba satu langkah ini dulu, baru senang kerja