Realtime website trackingweb stats

5 budaya barat yang dah jadi adat dalam bangsa Melayu, no.5 ramai buat tanpa sedar

Oleh ARIF ABDULLAH

Sebagai masyarakat yang berpegang kepada tradisi dan budaya yang kaya dengan adat dan adab,

kemasukan budaya barat yang mengambil alih amalan kita adalah satu isu yang perlu diberi perhatian serius.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat aspek positif budaya barat yang dipraktikkan dalam masyarakat kita,

Namun pengaruh budaya barat juga membawa kita ke arah yang kurang baik dalam pelbagai aspek.

Kita dapat melihat perubahan ini dengan jelas dalam kalangan pasangan Melayu, baik yang belum berkahwin mahupun yang sudah bernikah.

5 budaya barat yang dah jadi adat dalam bangsa Melayu, no.5 ramai buat tanpa sedar

Semakin ramai pasangan yang mengikuti budaya yang diperkenalkan oleh barat sehingga tradisi lama kita semakin dilupakan.

1. Budaya Proposal dalam Masyarakat Melayu

Kami tidak pasti sama ada sebelum kemunculan media sosial, terdapat pasangan Melayu yang melakukan ‘proposal’ kepada pasangan mereka. Pada pendapat kami, kehadiran media sosial telah mempopularkan amalan ini. Semakin ramai pasangan Melayu yang beragama Islam berani melakukan proposal di tempat awam – menuruti tindakan orang barat seperti melutut di hadapan pasangan, bertanya kesudian, dan akhirnya menyarungkan cincin ke jari bukan mahram.

Sedangkan tradisi kita jelas menunjukkan bahawa jika seorang lelaki mahu memperisterikan seseorang, kebenaran utama yang perlu diperoleh adalah daripada pihak keluarga wanita. Tindakan proposal ini seolah-olah mahu mengenepikan peranan pihak keluarga, khususnya ayah atau wakilnya, dalam menentukan pilihan hidup anak perempuan mereka. Lagipun, proposal atau ‘meminang’ seharusnya berlaku antara dua keluarga, bukan di antara lelaki dan wanita dengan disaksikan orang awam.

2. Pendedahan Jantina (Gender Reveal)

Pendedahan jantina atau gender reveal kini menjadi kegilaan dalam kalangan pasangan Melayu. Tidak jelas apa yang ingin diraikan sehingga ada pasangan yang sanggup membazir wang ringgit untuk mencipta gimik hanya untuk mendedahkan jantina anak mereka (selalunya anak pertama).

Anehnya, kegembiraan ini bukan hanya terhad kepada pasangan terlibat. Mereka juga akan memuat naik rakaman video pendedahan ini di media sosial, seolah-olah semua orang ternanti-nanti untuk mengetahui jantina anak mereka. Walaupun kita belum melihat pasangan yang menyewa kapal terbang atau meletupkan bom hanya untuk mendedahkan jantina anak, sekiranya tradisi ini dibiarkan menular, tidak mustahil akan ada pasangan yang mengikuti langkah serupa.

Tidak perlu gimik sebegini. Perkara yang mudah perlu dipermudahkan. Lagipun, tidak mustahil jantina anak yang dinyatakan semasa pendedahan boleh berubah apabila anak lahir nanti.

3. Majlis Kahwin

Perubahan yang paling ketara berlaku dalam penganjuran majlis kahwin. Budaya rewang atau gotong-royong mempersiapkan kenduri sudah tidak lagi diamalkan. Sekarang, yang terlibat hanyalah katerer, pemasang khemah, dan sebagainya.

Kadang-kadang, kenduri itu sendiri sudah tiada dan digantikan dengan majlis yang lebih formal. Semua orang perlu hadir pada masa yang ditetapkan dan mengikuti perjalanan majlis dari mula hingga akhir. Jumlah jemputan juga dihadkan, kadangkala hanya 100 hingga 200 tetamu sahaja yang dijemput.

Dari segi perjalanan majlis, ia juga semakin meniru tradisi barat. Yang lebih menyedihkan, pakaian pengantin juga cenderung berorientasikan barat, dengan tuksedo dipakai oleh pengantin lelaki dan gaun panjang berwarna putih oleh pengantin perempuan. Putih itu ada maknanya dalam budaya barat, bukan?

4. Bridal Shower dan Bachelor Party

Dua tradisi barat ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pasangan kita, terutamanya bridal shower. Kami sendiri tidak pasti istilah Melayu untuk ‘bridal shower’ atau ‘bachelor party’. Mungkin ‘mandian pengantin perempuan’ dan ‘parti orang bujang’?

Bukan sahaja ramai yang teruja untuk mengikuti tradisi ini, malah tatacara majlis juga ditiru. Semua yang hadir ke bridal shower perlu membawa hadiah dan hanya rakan baik pengantin perempuan yang diundang. Sementara itu, bachelor party dilakukan dalam cara yang lebih liar.

Ada juga selebriti tempatan yang menganjurkan parti dengan tema yang agak lucah dan tidak sesuai dengan budaya kita. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh budaya barat dalam majlis perkahwinan kita.

5. Cium Mulut untuk Rakaman Kamera

Walaupun setelah berkahwin, apa sahaja yang dilakukan dengan pasangan adalah halal, cium mulut di hadapan kamera untuk tatapan umum bukanlah sesuatu yang biasa dalam kalangan pasangan Melayu.

Jika anda mengikuti berita artis dan selebriti Melayu, anda pasti telah melihat segelintir pasangan yang tidak lagi segan silu menayangkan keintiman mereka di media sosial

Ada juga pasangan bukan selebriti yang melakukan perkara yang sama, bercium mulut di hadapan kamera pada hari perkahwinan mereka.

Kami agak konservatif dalam hal ini. Ada sebab mengapa malu, menutup, dan menyembunyikan perkara-perkara tertentu telah lama menjadi adat kita. Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita kembali kepada adat lama kita, walaupun perkara-perkara tertentu sudah menjadi halal.

BACA: Mangsa kemalangan ‘selfie’ lepas bertembung sama sendiri, rupanya mudah wanita buat kawan