KUALA LUMPUR – Baki 16 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini masih dalam peringkat rundingan, dengan satu tuntutan dianggap selesai secara interim dan dua lagi mencapai keputusan dasar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau menjelaskan bahawa lapan tuntutan lain masih dibincangkan, manakala lima tuntutan lagi akan dirujuk ke peringkat rundingan tertinggi.
“Kerajaan Madani komited memastikan pelaksanaan MA63 dijalankan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mustapha berkata tempoh penyelesaian baki tuntutan bergantung kepada beberapa faktor termasuk perbezaan tafsiran undang-undang antara pihak terlibat serta proses perundangan yang memerlukan masa panjang.
Setakat ini, sebanyak 13 tuntutan telah diselesaikan, termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Sarawak, serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Selain itu, kerajaan telah melaksanakan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi melantik wakil negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap, menyerahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah untuk penjanaan elektrik, memperkukuh pentadbiran kehakiman di kedua-dua negeri, serta meminda Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.
Beliau menekankan bahawa kerajaan menunjukkan kesungguhan dalam memartabatkan hak Sabah dan Sarawak melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempercepat proses rundingan dan penyelesaian tuntutan.
Tambahan pula, kerajaan menyokong proses ini melalui alokasi fiskal yang signifikan, dengan belanjawan pembangunan 2026 sebanyak RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak.