LABUAN: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus memberi impak positif apabila hampir 13 juta rakyat Malaysia yang layak telah menebus bantuan itu, melibatkan jumlah perbelanjaan mencecah RM1 bilion bagi pembelian barangan keperluan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, skim berkenaan amat membantu isi rumah B40, khususnya penduduk luar bandar serta kawasan pedalaman.
Di Sabah sahaja, lebih 98 peratus daripada 1.2 juta penerima layak telah menggunakan SARA bagi mendapatkan barangan asas, manakala di Labuan, 65 peratus daripada hampir 50,000 penerima menebus kredit RM100 mereka.
Menjawab kritikan bahawa penggunaan MyKad menyukarkan warga emas dan penduduk pedalaman, Amir Hamzah menegaskan data menunjukkan sebaliknya.
“Ini dibuktikan dengan kadar penebusan yang sangat tinggi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya selepas meninjau peruncit yang mengambil bahagian dalam program SARA di sini, semalam.
Beliau menambah, pelaksanaan skim itu bukan sahaja mengurangkan beban rakyat, malah turut memberi limpahan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan peningkatan hasil jualan.
“Sejak diperkenalkan, jumlah kedai runcit menyertai program ini meningkat daripada 7,300 pada awal tahun kepada lebih 8,100 setakat ini di seluruh negara,” jelasnya.
Menurut Amir Hamzah, hampir sembilan juta rakyat Malaysia layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), manakala liputan SARA pula diperluaskan kepada 5.4 juta penerima mulai 1 April lalu, iaitu hampir lapan kali ganda berbanding hanya 700,000 penerima sebelum ini.
Penerima SARA boleh menebus pelbagai barangan keperluan harian, termasuk makanan ruji seperti beras, roti dan telur; bahan memasak seperti minyak masak serta tepung; produk dalam tin dan mi segera; barangan kebersihan diri; produk pembersihan rumah; ubat-ubatan; alat tulis dan pakaian seragam.
“Dengan kategori ini, keluarga bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pemakanan, tetapi juga memastikan akses kepada barangan asas isi rumah pada harga berpatutan,” katanya.