Realtime website trackingweb stats

110 tahun Dr. Burhanuddin al-Helmy (Siri 1)

Oleh ADINDA

Burhanuddin al Helmy atau nama sebenarnya Burhanudin bin Muhammad Nur dilahirkan di kampung Changkat Tualang, Kota Baru, sebuah pekan kecil di daerah Gopeng pada Ogos 1911. Beliau meninggal dunia Oktober 1969 dan dikebumikan di hadapan Masjid Lama Taiping. Di kalangan rakan-rakannya, dia lebih dikenali dengan panggilan Pak Doktur.

Nama Tualang berasal dari nama pokok besar yang sering menjadi tempat sarang lebah madu. Di sekitar Changkat Tualang terdapat kampung yang menggunakan Tualang sebagai nama tempat seperti Tualang Sekah dan Tanjung Tualang. Tidak pasti samada masih banyak lagi pokok tersebut selepas banyak kawasan tersebut dibuka untuk perlombongan dan penempatan.

Rumah keluarganya tidak jauh daripada stesyen kecil keretapi Kota Baru yang menghubungkan ke Ipoh, hingga ke Singapura. Ayah perantau dari Sumatera berkahwin dengan gadis tempatan. Melalui kemudahan keretapi dan wawasan jauh orang tuanya, Burhanuddin al Helmy membina pemikiran globalnya di merata tempat.

Tengahari itu, saya memandu sendirian menuju ke Kota Bharu. Sepanjang jalan baru dari Kampar ke Gopeng, banyak tasik tinggalan lombong kiri kanan jalan. Dahulu di sini merupakan syurga pendatang mencari kehidupan baru dengan perlombongan bijih timah. Mereka mendapat konsesi mengerjakan perlombongan oleh kerajaan yang memerintah ketika itu. Bandar Kampar dan Gopeng merupakan penempatan mereka yang maju.

Menunggu saya di simpang masuk ke Kampong Changkat Tualang ialah Hamidin Tajul Mahmud dan Kazimi Ibrahim. Mereka orang tempatan dan mencari makan sebagai orang kampung. Semua pekerjaan halal yang boleh mendatangkan kewangan, dikerjakan bersungguh-sungguh. Tidak boleh menunggu hujung bulan, untuk dapat gaji seperti orang kerja kerajaan atau kebanyakan orang di pekan Kampar.

Pekan Kota Bharu

Saya ke sini dalam merangka penulisan tentang sejarah Dr. Burhanuddin al Helmy. Bagi mendapatkan roh Pak Doktur itu, saya ke kampung halamannya dan menyaksikan sendiri suasana tempat tokoh bangsa yang sangat berjasa. Tentu keadaannya sudah jauh berubah. Pekan Kota Bharu yang dahulunya agak besar dan meriah, kini hanya tinggal sebuah kedai lama dan rumah usang serta bangunan uzur.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina ditutup kira-kira 20 tahun lalu. Tinggal bangunan kayu yang terbiar di tepi rumah kedai yang juga sepi. Ramai penduduknya berpindah ke tempat lain. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil juga sudah ditutup. Pekan Kota Bharu dibelah dengan binaan jejambat yang hanya menambah-nambah sepinya pekan lama itu. Jejambat dibina untuk memberi laluan landasan keretapi.

Bekas rumah dan pejabat penghulu pun diselimuti rumput menjalar. Bekas bangunan sekolah rendah dijadikan tadika Kemas. Dewan orang ramai bertukar menjadi markaz jin bermesyuarat. Pesat pembangunan, bangunan-bangunan lama tertinggal sepi. Ironinya, stesyen keretapi kecil Kota Bharu yang baru dibina tidak digunakan juga.

Rumah keluarga Pak Doktur sudah tiada kesan. Hanya hutan belukar memenuhi tanah di hujung desa itu. Hanya agas dan nyamuk yang berterbangan keriangan menyambut kami datang. Dulu, rumah keluarga Pak Doktur berdekatan dengan masjid tetapi kini masjid telah berpindah ke tempat lain di kampong itu.

Bangunan sekolah rendah Kota Bharu dijadikan Tadika Kemas.

Tasik dari bekas lombong bertukar menjadi tempat membela ikan. ‘Semua Cine punye, doktor’ kata Hamidin Tajul Mahmud. ‘Ate orang Melayu mane?’ Saya tanya dia. ‘Deme tak da modey’ Jawab Hamidin ringkas sambil menerangkan hal ehwal tentang Kota Bharu. Katanya, Kota Bharu adalah kampung halaman Datok Lat, Rahim Razali dan Khatijah Tan.

Sejarah hidup Dr. Burhanuddin al Helmy sudah banyak ditulis. Dari rakannya, Ahmad Boestamam hingga kepada anak teman seperjuangannya Saliha Hasan Adli. Begitu juga kajian yang dibuat oleh Ramlah Adam, Kamarudin Jaafar, Muzammil Mohd Nor dan banyak lagi penyelidik. Setiap melewati bulan merdeka dan hari Malaysia, tawarikh Dr Burhanuddin al Helmy ditelaah kembali dari pelbagai sudut. Tahun ini sudah 110 tahun Burhanudin al Helmy. Mengupas kembali sejarah silam kadangkala seperti mengembalikan luka lama dan berdarah kembali.

Sesekali biar kita terluka seketika dan berdarah demi kesembuhan yang lebih baik buat negara tercinta. Sejarah perjuangan Pak Doktur sangat padat dalam tempoh hayatnya. Dalam aspek gerakan politik, kita perlu melihat Dr Burhanuddin al Helmy terutama sejak beliau memimpin PUTERA-AMCJA dan Pas dari 1948 hingga 1969. Ini adalah tahun-tahun idea Dr. Burhanuddin al Helmy dominan dalam pemikiran pengikut dan penyokongnya.

Dr. Burhanuddin al Helmy menjadi Timbalan Presiden Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945 di Ipoh. Presidennya Mokhtaruddin Lasso dari parti Komunis Indonesia yang menghilangkan diri dan menyebabkan Dr. Burhanuddin al Helmy memikul tanggungjawab sebagai Ketua PKMM.

Pekan lama Kota Bharu

Dalam tempoh Pak Doktur memimpin PKMM inilah keupayaannya sebagai pemimpin lebih terserlah. Pak Doktur dikelilingi pelbagai pihak dan aliran pemikiran yang pelbagai tetapi beliau kekal istiqamah dengan pemikiran Islamis dan kebangsaannya. Ibarat ikan di laut, badannya tidak termakan masinnya air laut.

Namun kekirian pendekatan politiknya dan lingkaran sosialnya menyebabkan sejarah Pak Doktur terus terpalit dengan unsur Komunis. Keadaan bertambah-tambah dengan propaganda Umno, kegagalan jentera penerangan parti yang dianggotainya menyebabkan namanya berada dalam sangkar besi sejarah. Hingga kini, sumbangannya belum lagi memecah naratif perdana yang kekal berada dalam sistem pemikiran masyarakat.

Hamidin bersama kawannya membantu saya ke tapak rumah orang tua Dr. Burhanudin al Helmy di Changkat Tualang.

——————-

MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penyair dan pengarang buku ‘Menang Dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat’ yang baru berada dalam pasaran dengan klik DI SINI.